TAWAU, Polis Sabah menambah kekuatan anggotanya di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bagi mengekang anasir subversif atau kemasukan penjenayah rentas sempadan yang ingin bersembunyi di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, penambahan itu antara langkah awal berjaga-jaga terhadap segala kemungkinan jenayah yang boleh berlaku di Sabah khususnya Esszone

“Ini termasuk mengekang limpahan kumpulan militan dari Marawi yang ingin masuk ke kawasan kita,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas penyerahan sumbangan beras kepada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Alijus Sipil untuk mangsa kebakaran baru-baru ini di Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, di sini.

Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya turut berjaga-jaga terhadap kemungkinan Ketua Abu Sayyaf Isnilon Hapilon melarikan diri dari Marawi dan bersembunyi di negeri ini.

“Dari sudut pencegahan, operasi dan risikan mengenai perkara ini telah ditingkatkan dan setakat ini tiada maklumat mengenai kemasukan Isnilon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau tidak menafikan terdapat sebilangan suspek Daesh telah ditahan di Sabah, namun tidak memberitahu jumlahnya secara tepat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *