Pelakon Fathia Latiff menganggap peluang meminjamkan suara menerusi filem Kabali  lakonan Rajinikanth versi bahasa Melayu adalah satu pencapaian besar dalam karier seninya.

Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 28, berkata, menerusi filem itu nanti dia akan mengalih suara watak anak kepada Rajinikanth iaitu Dhansika.

“Apabila mendapat tawaran tersebut daripada penerbit saya terus bersetuju kerana Kabali adalah sebuah filem yang dinanti-nantikan oleh peminat Rajinikanth.

“Ia juga satu penghormatan besar buat saya kerana dalam banyak-banyak pelakon saya terpilih.

“Harap-harap nanti penonton akan menyukai versi bahasa Melayu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fathia berkata, dia telah pun selesai menjalani proses rakaman suara tersebut yang diadakan di Chennai, India selama tujuh hari.

Kata Fathia, ia pengalaman menyeronokkan kerana selain dapat belajar tentang proses tersebut dengan betul dia turut merasai bekerjasama dengan kru produksi asal filem berkenaan.

“Selain saya, Datuk Jalaluddin Hassan pun turut ke Chennai untuk rakaman suara dan ia pengalaman yang cukup berharga.

“Ia juga mencabar kerana saya kena memastikan pergerakan mulut dan suara sama agar tidak nampak pelik.

“Alhamdulillah produksi di sana banyak membantu melancarkan semua proses rakaman suara,” ujarnya.

Kabali yang turut menampilkan beberapa pelakon Malaysia seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim dijangka ditayangkan di pawagam bermula 22 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Fathia berkata, dia akan berada di Barcelona untuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang menggandingkannya bersama Kamal Adli.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *