Kritikan dan bantahan yang dikemukan berhubung isu persempadanan semula kawasan pilihan raya akan melalui beberapa proses sebelum cadangannya dimuktamadkan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya terbuka dan masih menunggu bantahan daripada semua pihak yang terlibat khususnya di kalangan parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

“Jika wujud rasa tidak puas hati berhubung cadangan ini, kemukakan bantahan. Semua pihak sama ada parti politik tidak kira kerajaan atau pembangkang, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pengundi berhak untuk menyuarakan bantahan.

“Sebab itu kita adakan pameran fasa pertama ini. Kita beri peluang kepada semua pihak untuk kemukakan pandangan kerana ia sebahagian daripada proses yang mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi negatif parti-parti politik termasuk BN berhubung cadangan berkenaan.

Tambah Abdul Ghani, selepas proses bantahan bertulis berakhir pada 14 Oktober depan, SPR akan bersemuka dengan pihak yang terlibat bagi mendengar  kebimbangan yang dibangkitkan semua pihak.

“Saya jangkakan kita memerlukan masa lebih kurang seminggu untuk meneliti semua bantahan awal itu. Selepas itu SPR akan turun padang ke seluruh negara menemui tiga pihak yang terlibat iaitu kerajaan negeri, PBT dan 100  pengundi dalam sesuatu kawasan pilihan raya.

“Tiga pihak ini mempunyai hak mengikut undang-undang untuk membuat bantahan. Kita akan dengar setiap kebimbangan mereka.

“Selepas proses itu selesai, SPR akan membuat pameran cadangan fasa kedua dan semakan boleh dibuat bagi mengetahui sama ada bantahan mereka sebelum ini diterima atau tidak,” katanya.

Selain itu,  menurut Abdul Ghani, beliau berharap semua pihak dapat turut sama terlibat dalam proses berkenaan mengikut saluran yang ditetapkan.

“Semuanya belum muktamad, jika ada rasa tak puas hati, sila kemukakan bantahan,” tegasnya.

SPR sedang mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama satu bulan bermula 15 September hingga 14 Oktober.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *