Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan supaya penjawat awam menjaga integriti dan akauntabiliti.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana penjawat awam atau bekas penjawat awam yang cuba menggunakan kedudukan mereka untuk membuat kenyataan atau berkelakuan yang boleh mendatangkan fitnah sekali gus memberi persepsi buruk terhadap kerajaan hari ini.

“Di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang memperuntukkan bahawa tiada penyata atau komen dibenarkan untuk menerbitkan atau bercakap tanpa persetujuan terlebih dahulu daripada Menteri yang bertanggungjawab atau Jabatan.

“Rasional pelaksanaan peraturan ini adalah bagi mengelakkan salah faham dari sumber yang tidak sah dan juga untuk mengelakkan salah tafsir atau salah faham berhubung keputusan Kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, peraturan ini terpakai kepada semua kakitangan awam yang masih dalam perkhidmatan.

Beliau berkata, manakala mereka yang bersara daripada perkhidmatan, masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kesalahan yang berhubungan dengan pendedahan yang tidak dibenarkan berkaitan rahsia rasmi.

Katanya, peruntukan di bawah Akta 88 diwujudkan bagi suatu kesalahan jika seseorang mendedahkan maklumat rahsia rasmi yang diperoleh semasa perkhidmatan selepas bersara.

“Semua kakitangan kerajaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan tiada salah faham timbul di kalangan orang ramai,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *