PUTRAJAYA, Hukuman penjara 48 tahun, dan sebatan 24 kali yang dijatuhkan terhadap seorang bapa atas 623 tuduhan merogol, meliwat selain melakukan seksual fizikal terhadap anak kandungnya patut dijadikan iktibar kepada penjenayah seks kanak-kanak yang merasakan diri mereka ‘bebas’.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata hukuman itu diharap dapat menghentikan mereka yang terbabit daripada meneruskan perbuatan terkutuk itu.

“Semoga hukuman yang dijatuhkan ini jadi pengajaran dan iktibar kepada semua yang berkenaan termasuk (perogol dan pelaku sumbang mahram) supaya berhenti melakukan segala perbuatan terkutuk mereka.

“Jika sampai kepada pihak pengadilan kita akan pastikan bahawa mereka diberi hukuman setimpal,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas mengikuti prosiding jatuh hukum di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini hari ini terhadap ejen unit amanah yang didakwa atas 623 tuduhan merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal terhadap anak kandungnya yang berusia 15 tahun setiap hari selama enam bulan.

Hakim Yong Zarida Sazali hari ini menjatuhkan hukuman penjara 48 tahun dan 24 sebatan selain 240 jam khidmat masyarakat selama enam bulan, 10 tahun sesi kaunseling dan tiga tahun pengawasan polis terhadap tertuduh yang berusia 36 tahun itu.

Selain itu, Rohani berkata kanak-kanak dan remaja perlu dilengkapkan dengan pendidikan seksualiti dan hak kanak-kanak bagi membolehkan mereka mengenalpasti dan melindungi diri daripada tingkah laku seksual yang salah.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing termasuk tampil membuat laporan sekiranya terdapat maklumat mengenai kes seumpama ini melalui Talian Kasih 15999 atau terus kepada pihak berkuasa.

“Kementerian juga secara berterusan berusaha menyediakan pelbagai inisiatif dan program advokasi dan kesedaran kepada ibu bapa dan kanak-kanak seperti kempen Sahabat B.I.J.A.K ‘Safe and Protect’.

“Kami di kementerian akan sentiasa melakukan yang terbaik, jika dirasakan kita perlu meminda sebarang akta, kita akan lakukan demi untuk memberi segala perlindungan dan keadilan kepada kanak-kanak,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *