Larangan penggunaan polisterin yang akan berkuatkuasa 1 Sept ini mendapat penerimaan positif pengusaha premis makanan di sekitar ibu kota.

Tinjauan mendapati kebanyakan peniaga industri itu tidak lagi menggunakan polisterin untuk membungkus makanan sebaliknya telah bertukar kepada pembungkus daripada bahan lebih biodegradasi (boleh urai) seperti kotak dan kertas kertas minyak.

Presiden Kelab Trak Makanan Bandaraya Kuala Lumpur Shiraj Shah Subahan berkata kebanyakan daripada kira-kira 200 peniaga yang bernaung bawah persatuan itu mula menggunakan kotak dan beg kertas sebagai pembungkus sejak hujung tahun lepas.

“Kita memang telah bersedia lama dan menganggap penggunaan polisterin sebagai tidak relevan, memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan menjejaskan persembahan makanan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau yang menjalankan perniagaan roti benggali juga berpendapat penggunaan pembungkus kertas menjadikan produk nampak lebih terampil kerana kelihatan lebih kemas selain boleh menjadi medium pengiklanan dalam mempromosi perniagaan.

Peniaga gerai nasi kerabu Nor Farhana Sulaiman, 32, yang memilih kertas minyak sebagai pembungkus pula berpendapat penggunaan bahan itu lebih murah dan kompak selain menyumbang kepada kehidupan lebih sihat.

“Dari segi modal tidak jejas banyak harga lebih kurang sahaja, nak simpan stok pembungkus pun lebih senang berbanding dengan polisterin…ia juga sebahagian tanggungjawab peniaga dalam menyokong inisiatif hijau,” katanya yang telah berniaga lebih lima tahun.

Pesara guru, S. Vijaya Letchemi, 52, berkata pelaksanaan itu dilihat bertepatan dengan usaha memulihara kelestarian alam sekitar sekali gus membawa Malaysia setaraf negara maju.

“Semua pihak perlu menyokong dan turut sama memainkan peranan dalam menjayakannya, saya sedang cuba membiasakan diri untuk membawa bekas makanan sendiri jika mahu membungkus makanan di kedai,” katanya.

Pekerja swasta Desmond Lim, 26, pula berharap pihak pembekal menawarkan lebih banyak pilihan pembungkus daripada bahan biodegradasi sesuai dengan keperluan dan jenis makanan.

“Ada sesetengah bahan bungkusan tidak sesuai digunakan untuk mengisi makanan basah atau cecair, ini menyebabkan plastik masih digunakan,” katanya.

Kementerian Wilayah Persekutuan menyarankan peniaga di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya agar tidak lagi menggunakan bahan bungkusan yang diperbuat daripada polisterin dan mewajibkan penggunaan produk biodegradasi mulai Jun tahun lepas sebelum penguatkuasaan bermula 1 Sept ini.

Kompaun maksimum sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun boleh dikenakan kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik dan polisterin mulai tarikh penguatkuasaan itu.

 

BERNAMA

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *