Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Pemuda UMNO mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi mengatasi masalah kos sara hidup, orang tengah serta tindakan sabotaj ekonomi negara.

Jurucakap sayap UMNO itu, Jamawi Jaafar, menjelaskan majlis itu perlu ditubuhkan bagi mengatasi bebanan yang ditanggung rakyat susulan peningkatan harga barang dan rumah yang tidak terkawal.

“Kita kena serius untuk menangani keperluan rakyat ini. Dengan penubuhan (majlis) ini, saya yakin banyak lagi perjuangan membela rakyat di peringkat akar umbi akan dapat dilakukan.

“Ia juga bagi memastikan barangan dapat dijual pada harga terkawal dan anak muda di bandar tidak menerima kesan, malah dapat kita perkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap membahas Usul Ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Jamawi berkata, Pemuda UMNO juga mencadangkan supaya pemimpin UMNO di peringkat akar umbi menerajui Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Kalau kita ingin tambah baik KR1M ini, kita harus mencari pemimpin UMNO yang ada jiwa membantu masyarakat untuk menerajui KR1M, kerana mereka yang diamanahkan sebelum ini hanya berorentasi untuk mencari keuntungan.

“Kita juga tengok sebelum ini nampak baik sekali. Kita atasi masalah orang tengah, tapi hari ini semuanya sudah ditutup,” katanya.

Berkenaan program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), beliau menyedari luahan bahawa ia dijual pada harga terlalu mahal dan di luar kemampuan anak muda.

“Tapi saya difahamkan masalah rumah PR1MA ini berkait dengan tanah. Pemuda cadang GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang mempunyai aset tanah dan estet dapat membantu PR1MA menyediakan kawasan dan lokaliti sesuai,” katanya.

Jamawi yang juga Ketua Pemuda Tenom juga mahu, kualiti jalan luar bandar terutama di Sabah yang tidak dilalui Lebuh Raya Pan Borneo, ditambah baik dan diperbaiki demi keselesaan rakyat di pedalaman.

Di awal perbahasannya, Jamawi turut berkongsi kisah kehidupan tiga indvidu di tiga lokaliti berbeza, yang boleh dijadikan contoh kerana berjaya mengubah kehidupannya biarpun berhadapan dengan masalah kos sara hidup.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *