SHAH ALAM, Bermula daripada sembang-sembang, tetapi akhirnya menjadi sembang yang membuahkan hasil apabila ia dapat memperkembangkan lagi perniagaan seorang belia.

Seorang pengusaha produk makanan berasaskan cili dan kelapa, Mohd Hizwan Hamdan, 40, memberitahu hasil ‘sembang-sembang’ dengan Pemuda UMNO Selangor beberapa tahun lepas telah membuka ruang kepada perniagaannya yang beroperasi sejak tujuh tahun lalu untuk lebih berkembang.

Beliau berkata penyampaian maklumat mengenai saluran memohon dana perniagaan dan bantuan mendapatkannya oleh sayap parti itu membolehkan beliau menerima peruntukan sejumlah RM15,000 untuk membeli mesin memasak automatik.

“Dana itu saya dapat menerusi peluang program 1 Daerah 1 Produk seperti yang dicadangkan Pemuda (UMNO) dan proses berurusan dengan mereka untuk membantu saya dapatkan peruntukan itu amat mudah, namun biasalah, giliran dengan pihak kementerian terlibat agak lama.

“Namun itu tidak menjadi masalah kerana dana yang saya dapat untuk membeli mesin itu meningkatkan jumlah pengeluaran produk perniagaan saya sehingga 40 peratus dan kini ia membantu saya menambahkan lagi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan,” dipetik sebagai berkata.

Mohd Hizwan menyarankan Pemuda UMNO Selangor supaya terus menyebarkan maklumat berkaitan kepada golongan peniaga muda yang rata-rata masih kurang arif tentang tatacara memperoleh peruntukan disediakan kerajaan persekutuan demi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Keprihatinan sayap UMNO itu turut diakui seorang ibu tunggal, Hafizah Zainuddin, 26, yang amat bersyukur apabila mereka tampil menghulurkan sumbangan berupa persiapan persekolahan untuk anak sulungnya yang memasuki Tahun 1 pada sesi persekolahan tahun lepas.

Katanya, walaupun pertama kali menerima bantuan itu, namun ia amat melegakan memandangkan beliau tidak lagi mampu bekerja setelah didiagnos menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) dan hipertensi.

“Walaupun hanya dibantu dengan persiapan persekolahan, namun ia cukup bermakna dalam mengurangkan kos perbelanjaan, tambahan pula keluarga saya perlu menanggung seorang lagi anak saya yang masih kecil. Saya harap bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana masih ramai golongan seperti saya yang memerlukan,” katanya.

Senada dengan wanita itu, seorang lagi penerima bantuan sama, Che Mansor Che Amat, 40, bapa kepada tiga anak turut menyarankan pemberian seumpamanya tidak dihentikan sebaliknya diperhebatkan khususnya bagi membantu golongan sasar.

Che Mansor, peniaga gerai makan di Padang Jawa, di sini, berkata masih ramai rakyat memerlukan dokongan kerajaan persekutuan dan menyifatkan keprihatinan Pemuda UMNO Selangor dalam terus mendekati masyarakat melalui penyaluran pelbagai bantuan harus diberi pujian.

“Sekarang belanja persiapan sekolah seorang anak purata RM200, belum masuk belanja hari-hari…dengan pendapatan yang tidak seberapa, kami sekeluarga amat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan persekutuan yang tidak pernah menyisihkan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda UMNO negeri Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop berkata sebagai sayap parti yang memang ditugaskan untuk membantu golongan muda dan belia, pihaknya akan mempergiat usaha mendekati golongan sasar bagi menghulurkan sumbangan dan membantu mereka meningkatkan taraf kehidupan.

Katanya, sebanyak 2,500 keluarga telah dibantu bagi program pemberian persiapan sekolah sejak empat tahun lepas dan pihaknya menyasarkan 700 lagi keluarga menerima bantuan sama pada bulan depan untuk sesi persekolahan 2018.

“Bagi mana-mana golongan muda yang perlu bantuan atau sokongan, kami amat mengalu-alukan untuk datang kerana kami bersedia membantu, sebagai contoh, peniaga muda boleh kami bantu untuk dapatkan Geran Agropreneur Muda bawah Kementerian Industri Asas Tani untuk mula berniaga atau kembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata walaupun Selangor tidak ditadbir kerajaan Barisan Nasional, ia tidak menghalang pihaknya untuk terus menganjurkan program bagi membantu rakyat di negeri itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *