Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah kerana memperkenankan 207 rang undang-undang yang diluluskan di Dewan Negara dan Dewan Rakyat, sepanjang tempoh pemerintahan baginda dari 2012 sehingga 2016.

Pandikar Amin yang mewakili seluruh anggota Parlimen berkata antara rang undang-undang (RUU) itu adalah RUU Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2014 berkaitan gaji dan elaun anggota Parlimen yang tertangguh sejak 2012.

“Patik menjunjung kasih kerana sebagai Ketua Badan Perundangan, Tuanku mempunyai peranan penting dalam proses penggubalan undang-undang.

“Dengan limpah kurnia Tuanku sepanjang bersemayam di takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XIV, Tuanku telah memperkenankan akta-akta yang diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diwartakan menjadi undang-undang sah,” katanya.

Pandikar Amin berkata demikian ketika berucap di Majlis Santapan Malam Menjunjung Kasih Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, di sini malam tadi.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke majlis santapan malam anjuran Parlimen Malaysia itu. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk S A Vigneswaran.

Pandikar Amin turut merakamkan penghargaan kepada Tuanku Abdul Halim kerana memperkenankan Pelan Transformasi Parlimen yang menyaksikan pindaan terhadap beberapa Peraturan-peraturan Mesyuarat Baru yang diluluskan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pengalamannya selama sembilan tahun memegang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat antaranya berdepan pelbagai karenah segelintir anggota Parlimen yang memberi gangguan, provokasi, cemuhan, keceluparan, kedegilan dan kebiadapan.

Pandikar Amin berkata beliau juga terpaksa berhadapan ledakan teknologi maklumat yang pantas dan dunia tanpa sempadan menyebabkan beliau mendapat perhatian dan liputan masyarakat sehingga ada yang menggelar beliau sebagai ‘pengawal gawang gol kerajaan.”

“Fenomena ini dilihat amat luar biasa dan terkeluar daripada konvensyen amalan parlimen yang lebih tua di luar negara yang lebih menghormati kedudukan kerusi Yang Dipertua Dewan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *