Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan perlu bekerjasama secara holistik mencari langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang berlaku saban tahun di negeri ini.

Ahmad Zahid berkata beliau harap kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dapat berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menyelesaikan masalah tersebut bagi membantu meringankan beban rakyat yang saban tahun terpaksa berdepan dengan musibah berkenaan.

“Cara terbaik paku alam iaitu hutan, sungai dan gunung-ganang hendaklah dipertahankan. Oleh yang demikian kita harap jalinan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat 1,441 mangsa banjir daripada 653 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin.
Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut ketika ditemui pemberita, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengarahkan Mustapa dan Shahidan agar duduk semeja dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh dilakukan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani masalah banjir di Kelantan.

“Saya minta Datuk Seri Mustapa dan Datuk Seri Shahidan untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob dan mencari jalan dengan mengadakan mesyuarat memperincikan apakah koordinasi yang dapat dilakukan.

“Bukan hanya dari segi bantuan ketika banjir dan pasca banjir tetapi penyelesaian jangka panjang harus dicari sebagai tanda istiqamah dan komitmen dalam bentuk tabayun antara kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata berkata antara langkah awal yang dapat dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menangani bencana banjir di negeri ini adalah dengan melaksanakan penebangan hutan secara berstruktur dan terpilih, selain mengurangkan aktiviti pembalakan untuk dijadikan kawasan ladang.

Beliau berkata kegiatan pembalakan hanya akan menyebabkan hakisan tanah yang mengundang kepada berlakunya dasar sungai yang cetek, sekali gus akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam menjalankan projek mendalamkan dasar sungai.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menafikan kejadian banjir yang berlaku di selatan Thailand ketika ini menjadi penyumbang kepada bencana sama yang berlaku di Kelantan ketika ini.

“Siasatan telah dilakukan dan didapati bahawa masalah hujan lebat juga berlaku di kawasan mereka (Thailand) dan berlaku juga kenaikan paras air di sungai-sungai di Thailand.

“Maka saya fikir tuduhan itu tidak betul dan kita telah mendapat kerjasama cukup baik daripada kerajaan Thailand khususnya gabenor di wilayah-wilayah di selatan Thailand, dan kita harap perkara ini dapat diperbetulkan laporannya.

Terdahulu dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut berkata beliau akan memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membeli lapan bot amfibia untuk ditempatkan di Kelantan dan Terengganu.

Dalam masa yang sama beliau akan mengarahkan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menghantar lori jenis tatra bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di kawasan yang terjejas dengan bencana itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *