Share on Facebook

KEMAMAN, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kemungkinan berlaku ketirisan dan penyalahgunaan bantuan baja bersubsidi.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata beliau tidak menafikan kemungkinan berlaku ketirisan dan penyalahgunaan bantuan baja subsidi di bawah kementeriannya, justeru, kementeriannya terbuka untuk disiasat.

Katanya, siasatan menyeluruh boleh dilakukan oleh SPRM atau PDRM terhadap mana-mana pihak atau individu yang bertanggungjawab melakukan penyelewengan itu.

“Saya akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan itu sehingga individu yang bersalah dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya selepas merasmikan Simulasi Pengurusan Banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Pasir Gajah, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, beliau tidak menafikan kemungkinan berlaku ketirisan kerana kementeriannya itu antara kementerian yang paling banyak menyediakan peruntukan subsidi.

“Mungkin ada pihak yang tidak layak menerima bantuan membuat tuntutan atau ada pihak menguruskannya,” katanya yang mengulas pendedahan media berhubung kegiatan sindikit menjual baja dan racun bersubsidi termasuk melakukan tuntutan palsu.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, seramai 3,400 orang penduduk di Kemaman sudah mengambil perlindungan Insuran Kampung Ku bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing.

“Insurans terbabit amat penting sekiranya berlaku musibah banjir, mangsa akan diberi RM1, 000 dan bayarannya akan dibayar dalam tempoh seminggu namun mereka perlu membayar sebanyak RM74 setahun.

“Bagaimanapun, di Kemaman penduduk hanya perlu membayar RM50 manakala RM24 lagi ditambah oleh Pejabat Parlimen Kemaman. Insurans ini adalah sebagai satu persediaan jika berlaku sebarang bencana terhadap orang ramai daripada menanggung kerugian,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *