Pelakon, Mira Filzah, 24, mengaku selesa berkawan dengan Zizan Razak kerana sikap humor bintang popular itu.

Namun, Mira menjelaskan, dia enggan mengembar-gemburkan gosip percintaan bagi menjaga nama baik keluarga yang tidak mempunyai kaitan dalam bidang seni.

“Sejak kecil, ibu bapa mendidik saya untuk menjaga nama baik keluarga. Oleh itu, saya sebaik mungkin tidak mahu mencemarkan nama keluarga dengan sebarang gosip atau kontroversi negatif.

“Nasihat mereka, apabila sudah pasti semuanya, barulah saya bersedia untuk membuka mulut mengulas perihal cinta. Namun, buat masa ini, saya selesa berkawan dengan sesiapa saja dan memberi tumpuan kepada kerjaya.

“Lagipun, saya baharu berusia 24 tahun dan masih jauh perjalanan kerjaya seni. Cuma saya tidak menolak atau meletakkan sebarang sasaran mendirikan rumahtangga. Sekiranya jodoh sampai awal, saya terima.

“Saya tak menafikan, saya suka berkawan dengan Zizan kerana dia baik dan kelakar. Tetapi kami hanya teman rapat sahaja,” katanya ketika ditemui di Glam Lebaran anjuran Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Cinta Si Wedding Planner itu berkata, biarpun ibunya kurang gemar dia memilih bakal suami daripada bidang seni, namun semuanya boleh dibincangkan.

“Sejujurnya, memang ibu saya kalau boleh tidak mahu saya berkahwin dengan orang dari latar belakang seni. Namun, jika itu adalah pilihan hati maka rasanya keluarga saya menerima pilihan itu secara baik,” katanya.

Sementara itu, Mira mengakui kelab peminatnya bersedih dirinya gagal membawa pulang trofi kategori Pelakon Televisyen (TV) Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana tahu finalis dalam kategori itu ada banyak saingan hebat. Jadi, saya hadir untuk memberi sokongan kepada ABPBH 3.0.

“Cuma, kelab peminat pula yang bersedih apabila saya tidak berjaya merangkul trofi. Saya menenangkan mereka dan menganggap ia bukan rezeki pada anugerah kali ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *