Pendikir terkenal Kelantan, Megat Nordin, yang menderita penyakit kanser hati sejak setahun lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Allahyarham yang berusia 56 tahun menghembuskan nafas terakhir jam 11.50 pagi di kediaman bapanya di Kampung Kenali, Kubang Kerian.

Presiden Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (PAKKAK), Mohamad Aswady Adenan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, Allahyarham keluar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Selasa lalu selepas menjalani pembedahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Megat yang juga bekas peserta Kilauan Emas 2014 menderita kanser hati sejak setahun lalu, dengan keadaan perut yang semakin membengkak.

Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusof, hanya mampu terbaring dan keadaannya makin serius sejak awal bulan ini selepas mendapatkan rawatan di negara jiran.

Megat Nordin dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menjalani pembedahan 18 Oktober lalu untuk membuang lebihan cecair, namun mengalami komplikasi dan dijadualkan menjalani pembedahan susulan.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Khorunnisa Madiyoh, 48, berkata Allahyarham meninggal dunia pada hari kelahirannya yang ke-56.

“Malam tadi, suami mengadu sakit dan kepenatan sebelum menghembuskan nafaz terakhir.

“Saya terkejut dan sedih kerana kehilangan suami yang penyayang. Arwah juga disenangi rakan serta peminat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenali selepas solat Jumaat ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *