Malaysia akan mengangkat wayang kulit untuk disenaraikan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai warisan seni budaya negara dan dunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, walaupun Indonesia telah membawa seni wayang kulit negara itu bagi pengiktirafan Unesco, namun wayang kulit Malaysia mempunyai ciri-ciri berbeza.

“Kalau Indonesia dah buat, tidak salah kita buat usaha yang sama kerana wayang kulit kita berbeza seperti juga batik kita yang mempunyai corak yang lain daripada mereka (Indonesia),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran Wayang Kulit Nusantara: Simbolisme Di Sebalik Layar di Muzium Negara, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim.

Beliau berkata, wayang kulit Malaysia yang terdiri daripada wayang kulit Kelantan, Melayu, Purwa dan Gedek mempunyai corak, jalan cerita, gaya bahasa, falsafah dan persembahan yang berbeza-beza.

Katanya Jabatan Warisan Negara juga telah mengambil langkah termasuk mengadakan seminar bagi tujuan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata seni wayang kulit merupakan warisan nusantara dan bukannya milik sesebuah negara.

“Kita kena ingat pada masa dahulu, Indonesia dan Malaysia belum wujud dan wayang kulit ini dimainkan ketika kedua-dua negara ini dipanggil nusantara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri berkata sehingga 30 Nov lepas, seramai 2.6 juta pengunjung melawat muzium-muzium yang berada di bawah Jabatan Muzium Malaysia.

Seramai 17.6 juta pelancong pula telah mengunjungi negara ini sehingga Ogos lepas, meningkat sebanyak 3.8 peratus bagi tempoh sama pada 2015, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *