Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh untuk menggemukakan borang nyata cukai pendapatan individu (BE) menerusi sistem e-Filing bagi tahun taksiran 2016 sehingga 15 Mei ini.

Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi LHDN, Masrun Maslim berkata, tempoh lanjutan selama 45 hari itu bertujuan menggalakkan pembayar cukai menggunakan kemudahan atas talian tersebut bagi mengemukakan borang masing-masing.

Bagaimanapun beliau berkata, individu yang ingin mengemukakan borang BE secara manual perlu berbuat demikian selewat-lewatnya pada 30 April ini.

“LHDN menasihatkan semua pembayar cukai supaya mengemukakan borang BE mereka dengan segera. Jangan tunggu hingga saat akhir terutama bagi mereka yang mempunyai cukai terlebih bayar,” katanya.

 Masrun berkata, bagi mereka yang sudah mengemukakan borang BE menerusi e-Filing, bayaran balik akan diperoleh dalam tempoh 30 hari bekerja.

“Mana-mana pembayar cukai yang ada cukai lebih bayar, LHDN komited untuk bayar balik dalam tempoh 30 hari bekerja bagi pengguna e-Filing dengan syarat borang yang diterima adalah betul dan tepat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi pembayar cukai yang mengemukakan borang secara manual, bayaran balik akan mengambil masa selama 90 hari bekerja.

“Jadi saya nasihatkan pembayar cukai supaya guna kemudahan e-Filing kerana bayaran balik lebih cepat berbanding hantar borang secara manual. Beralihlah kepada kemudahan atas talian itu,” katanya.

Masrun berkata, sehingga pukul 10 pagi Jumaat, sebanyak 785,598 borang BE Tahun Taksiran 2016 sudah diterima LHDN melalui kaedah e-Filing.

Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 41,465 berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 744,133 borang.

e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap dan mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara elektronik melalui internet.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *