JASIN, Kerajaan memperuntukkan lebih RM5 bilion untuk pembangunan luar bandar menerusi Bajet 2017 bagi menjayakan pelbagai program yang bakal memberi manafaat kepada rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu sebahagian daripada peruntukkan keseluruhan lebih RM9 bilion untuk sektor luar bandar iaitu antara peruntukkan terbesar Bajet 2017.

“Peruntukkan amat besar bagi sektor luar bandar membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat luar bandar, memajukan serta membawa mereka keluar daripada kemiskinan.

“Pembangunan bukan sahaja bina jalan, atau masuk api (elektrik) dan air tetapi transformasi menyeluruh kehidupan rakyat termasuk program keusahawanan bagi rakyat luar bandar meningkatkan tahap sosioekonomi mereka,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Projek Pembangunan Rakyat Terpilih (PPRT) 2 dan Tabung Amal ‘Demimu Rohingya’ di Pusat Transformasi Luar Bandar Sungai Rambai di sini. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Ismail Sabri berkata, sebanyak RM350 juta diperuntukkan tahun depan untuk rumah PPRT yang akan digunakan untuk membaik pulih 12,500 unit rumah dan membina 2,100 unit rumah baharu.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta bagi rakyat membina rumah di tanah sendiri di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan RM100 juta lagi untuk pembangunan rumah berkelompok melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Katanya, RM30 uta turut diperuntukkan bagi membantu rakyat khususnya generasi muda menjadi ‘mobilepreneur’ iaitu usahawan yang menjalankan perniagaan mudah alih menggunakan motosikal.

“Kita sediakan motosikal RM5,000, kotak peralatan RM4,000 dan kos latihan RM1,000 untuk mereka yang berminat. Selepas latihan mereka jalankan perniagaan seperti membaiki penghawa dingin rumah ke rumah,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya memberi laluan khas kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) antara lain dengan merendahkan syarat minimumkemasukan.

“Kita percaya dengan kejayaan anak-anak dalam pendidikan akan mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan. Selain itu pelajar OKU (orang kelainan upaya) dan yatim piatu akan turut diberi laluan khas ke MRSM,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *