Laporan mengenai pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi yang tersebar di media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah tidak benar, kata Kementerian Luar.

Menurutnya Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh telah menyemak perkara itu dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Dis, tiada sebarang dekri atau titah diraja yang dikeluarkan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baharu visa negara itu yang berkuat kuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Okt 2016, katanya.

“Oleh yang demikian, pihak media dan orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan,” kata kementerian itu dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra, sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi kerajaan negara itu.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan sebelum ini telah dikuat kuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Perubahan utama dalam struktur kadar visa baharu tersebut termasuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (Riyal Arab Saudi).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *