KUALA LUMPUR, Laporan penuh mengenai bedah siasat mayat Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, akan dikeluarkan selepas Jabatan Kimia menyiapkan analisis forensiknya.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil bedah siasat itu akan membantu menentukan punca kematian dan identiti sebenar si mati.

Bercakap pada sidang akhbar yang padat dengan petugas media di sini, Selasa, beliau berkata tiada tempoh khusus ditetapkan analisis itu perlu disiapkan.

Menurut Dr Noor Hisham, setakat ini, spesimen hanya diambil daripada tubuh si mati, yang meninggal dunia dalam keadaan misteri, dan tiada sebarang spesimen diambil daripada warisnya.

“Setakat ini, belum ada sesiapa yang mendakwa sebagai warisnya dan kami masih menunggu mereka,” kata beliau.

Menurut laporan, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas kerana menunggu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.

Beliau segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal ketika dalam perjalanan.

Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.

Ditanya sama ada Jong-nam menunjukkan sebarang tanda serangan jantung sebelum kematiannya, Dr Noor Hisham berkata tidak terdapat keterangan tentang perkara itu.

Beliau berkata bedah siasat mendapati tubuh si mati tidak mempunyai kesan cucuk yang ketara.

Beliau juga menolak khabar angin bahawa bedah siasat kali kedua telah dilakukan terhadap mayat si mati seperti yang dilaporkan media asing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *