Share on Facebook

MACHANG, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM136,000 untuk bantuan pakaian seragam dan peralatan sekolah bagi 800 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di Kelantan bagi sesi persekolahan 2018..

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata bantuan itu disalurkan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Yayasan Risda dan Yayasan Taqwa melibatkan 11 sekolah rendah di Jajahan Machang, Bachok dan Jeli.

“Bantuan itu untuk membantu golongan sasar membuat persiapan awal keperluan persekolahan terutama pakaian seragam dan kasut sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian seragam sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Bandar di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata ibu bapa pelajar, yang dipilih menerima bantuan, terdiri daripada kalangan penduduk miskin dan mempunyai bilangan anak yang ramai, tanpa mengira fahaman politik.

“Tambahan pula pada masa ini mereka tidak dapat bekerja menoreh getah sehingga Mac tahun depan ekoran hujan musim tengkujuh,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal, Khairiah Kadir, 43, berkata sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan bebannya dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anaknya.

“Hari ini, tiga orang anak saya menerima sumbangan pakaian seragam sekolah berserta alat tulis. Ia sangat membantu memandangkan saya mempunyai tujuh orang anak dan semuanya masih bersekolah.

“Biasanya, saya perlu membelanjakan RM300 seorang untuk persiapan awal persekolahan, namun dengan adanya sumbangan ini, ia meringankan perbelanjaan saya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *