TAWAU, Ketua Puteri UMNO Tawau, Nazliah Ali hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, susulan kenyataan berbaur fitnah yang viral Facebook, sejak semalam.

Nazliah ketika ditemui media selepas membuat laporan itu berkata, beliau berbuat demikian bagi menjelaskan beberapa perkara yang disebarkan berhubung penahanan seorang wanita yang dilaporkan berasal dari daerah ini oleh pihak berkuasa Pare-Pare di Indonesia bersama sejumlah dadah jenis syabu.

“Wanita itu bukan Ketua Puteri UMNO Tawau atau ahli Puteri bahagian ini, seperti disebarkan menerusi media sosial.

“Apapun kesalahan yang dilakukan oleh wanita itu jika terbukti bersalah oleh pihak berkuasa negara jiran, bersifat individu dan tidak seharusnya dikaitkan dengan Pergerakan Puteri UMNO atau apa juga organisasi politik yang beliau sertai,” katanya.

Turut hadir ialah Naib Ketua Puteri UMNO Sabah merangkap Ketua Puteri UMNO Semporna, Zakiah Kalipunya.

Sebelum ini, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik status mengaitkan penahanan seorang wanita bersama syabu seberat kira-kira dua kilogram dengan Ketua Puteri UMNO Tawau hingga ia viral di laman sosial.

Mengulas lanjut, Nazliah berkata, dakwaan pemilik akaun Facebook atas nama ‘An Ann, Sammy Mohammad Arifin Khan dan Khairul Nizam’ adalah fitnah, pembohongan, tuduhan jahat dan tidak berasas.

Katanya, ia jelas bertujuan untuk mengaib dan menjatuhkan maruah dirinya sebagai Ketua Puteri UMNO Tawau dan secara tidak langsung mencemarkan imej Puteri UMNO Sabah khususnya, selain pergerakan itu pada keseluruhannya.

“Keputusan membuat laporan polis dibuat memandangkan perbuatan tidak bertanggungjawab individu terbabit yang bermotifkan politik adalah tuduhan serius, selain boleh merosakkan imej parti.

“Saya berharap langkah ini membolehkan pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat siasatan lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun media sosial berkenaan, selain individu yang menyebarkan berita itu tanpa mengambil kira kebenaran dan kesahihannya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *