Kerajaan memberi jaminan akan berlaku adil dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak berkuasa tidak akan memilih warna dalam mengambil tindakan terhadap individu yang gagal mematuhi undang-undang dalam perhimpunan itu.

“Kerajaan akan berlaku adil. Kita tidak akan memilih warna, sama ada merah atau kuning untuk mengambil tindakan kepada individu yang melakukan kesalahan.

“Mana-mana individu yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 akan dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu,  Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut berkata tiada maklumat diperolehi ketika ditanya sama ada polis menemui kaitan Bersih 5 dan Daesh seperti didakwa Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Gerakan Merah Malaysia (GNGOM).

Dalam perkembangan lain, beliau turut mendedahkan seramai 137 rakyat Malaysia yang terlibat dalam Kumpulan Pengganas IS yang cuba kembali ke negara ini telah ditahan.

Katanya, individu yang ditahan akan berhadapan dengan proses pemulihan selain dipantau secara ketat
oleh pihak berkuasa.

Mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa berkemungkinan lebih ramai kumpulan pengganas yang akan kembali ke negara asal selain menggunakan Malaysia sebagai tempat berlindung selepas diserang oleh tentera Iraq di Mosul. Ahmad Zahid berkata,

“Kerajaan memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan agensi penguatkuasa bukan sahaja dibuat di lapangan terbang, di sempadan malah di ‘lubang tikus’ sekalipun akan ditempatkan anggota penguatkuasa.

“Perkara ini akan sentiasa dipantau oleh beberapa agensi yang terlibat semenjak wujud usaha sama koordinasi dengan pelbagai agensi,”.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *