Share on Facebook

TANJUNG MALIM, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya akan memulih dan memajukan Proton sehingga menempa nama di persada dunia.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan Proton dan Bandar Tanjung Malim tidak lenyap, sebaliknya menempa zaman yang lebih cemerlang.

Katanya berdasarkan kajian dijalankan oleh pihak kerajaan, masalah yang menimpa syarikat berkenaan adalah disebabkan model ekonomi berpaksikan semangat nasionalisme, bukannya global.

“Oleh kerana ada campur tangan politik dalam pentadbiran Proton, kita rasakan kita tidak akan biarkan Proton lenyap tetapi Proton perlukan sokongan dan dokongan kerajaan untuk dipulihkan.

“Kerajaan pimpinan saya akan pulihkan semula dan sebab itu, kalau ada orang kata kita tidak tolong, ia merupakan pendustaan. Kita bagi suntikan modal dan insentif,” katanya ketika berucap melancarkan Kluster Automotif Nasional @ Proton City di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta China ke Malaysia Bai Tan dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Pelan pembangunan kluster berkenaan melibatkan pembangunan Bandar Belia 1Malaysia; Edu City; hab automotif berteknologi tinggi yang merangkumi teknologi kereta elektrik, teknologi hijau, teknologi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan; pemasangan kereta berjenama global dan pengeluaran kereta untuk pasaran eksport.

Najib juga berkata rakan strategik yang dipilih Proton, Geely merupakan syarikat yang paling sesuai untuk memajukan Proton berdasarkan rekod pencapaiannya yang cemerlang.

“Saya yakin keputusan (memilih) Geely itu tepat kerana Geely mengeluarkan kenderaan sebanyak 1.5 juta setahun, memiliki Volvo, mempunyai teknologi tinggi dan sanggup memindahkan teknologi kepada jurutera dan pekerja Proton.

“Teknologi kereta elektrik, mungkin ada kereta terbang selepas ini. Kalau berada di takuk lama, tidak mungkin kita boleh bertahan dalam persaingan yang hebat,” katanya.

Perdana Menteri berkata bandar Tanjung Malim bakal menerima limpahan daripada Kluster Automotif Nasional itu dengan mengalami perubahan drastik dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

“Saya melihat bandar Tanjung Malim sebuah bandar yang berpotensi. Selama ini, Tanjung Malim agak malap tetapi sekarang berada di persimpangan masa depan yang cukup cerah.

“Sebagai sebuah kerajaan, saya dan menteri besar akan bekerjasama seerat mungkin untuk menjadikan ini bukan impian kosong tetapi realiti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan Barisan Nasional memerlukan sokongan dan mandat rakyat untuk terus memajukan kawasan berkenaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *