Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menyelaras operasi membanteras kegiatan peminjam wang haram atau ‘along’ secara menyeluruh dan berkesan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata susulan cadangan beberapa anggota Parlimen yang mahukan KDN mempunyai kuasa menerajui operasi membanteras kegiatan ‘along’, KDN bersedia untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.

“KDN prihatin dengan kebimbangan anggota Parlimen iaitu kerajaan perlu mempunyai ‘iltizam politik’ untuk membanteras kegiatan ‘along’ yang masih lagi berleluasa walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berkaitan.

“Jika itu cadangannya, KDN akan bincang dengan KKBPKT supaya kita boleh menerajui bagi memerangi kegiatan ini (along),” katanya pada sesi soal jawab dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab cadangan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang mahu KDN merangka pelan jangka panjang termasuk menerajui operasi membanteras kegiatan peminjam wang haram yang seolah-olah tidak takut dengan peraturan dan penguatkuasaan sedia ada.

Cadangan itu juga disokong oleh M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang mahu kerajaan membanteras kegiatan along secara besar-besaran kerana ia membawa kesan negatif kepada peminjam yang antaranya terpaksa melakukan jenayah seperti mencuri dan merompak untuk membayar balik faedah tidak munasabah yang dikenakan oleh ‘along’.

Menjawab soalan asal V. Sivakumar (DAP-Batu Gajah) mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk membanteras kegiatan along, Nur Jazlan berkata KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya terlibat dengan penguatkuasaan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang berada dalam bidang kuasa KKBPKT

Katanya sebanyak 351 along ditangkap dan 44 daripadanya didakwa di mahkamah tahun lalu berbanding sebanyak 98 orang yang ditangkap pada tahun 2014 dan 90 daripadanya telah didakwa di mahkamah.

Nur Jazlan berkata PDRM juga memberikan perlindungan keselamatan kepada pegawai Pihak Berkuasa Tempatan ketika menjalankan aktiviti penurunan poster dan iklan along.

“Kita juga sebarkan poster dan brosur untuk mendidik orang ramai mengenai cara untuk mengenali peminjam berlesen dan peminjam haram serta sebaran mengenai agensi yang menawarkan pinjaman mikro seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *