KUALA LUMPUR, Bayangkan satu kilogram daging lembu dijual dengan harga RM22, jauh lebih murah berbanding harga biasa di pasar raya yang dijual antara RM28 hingga RM30 sekilogram.

Bukan itu sahaja, barangan keperluan lain seperti telur, ikan, tepung, gula dan ayam juga boleh dibeli dengan harga lebih murah antara 15 hingga 20 peratus dan semua itu hanya boleh diperoleh pada Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Titiwangsa hari ini.

Oleh itu, tidak hairanlah ia mendapat sambutan hangat kira-kira lebih 2,000 orang dan kesemua barangan habis dijual dalam tempoh dua jam sahaja.

Seorang pembeli, Abdul Rahim Tahir, 60, menyifatkan program jualan itu amat membantu meringankan beban rakyat terutamanya yang berpendapatan sederhana dan tinggal di kawasan bandar.

“Misalnya, harga ayam dijual RM5 sekilogram berbanding di pasar mencecah RM7, jadi lebihan wang itu boleh lagi dibelanjakan untuk membeli barangan lain…kalau seminggu saya belanja RM100, jika membeli  melalui program ini saya boleh jimat hingga RM20,” dipetik media bernama hari ini.

Seorang ibu tunggal pula Halimah Hanim, 58, mengetahui program berkenaan melalui seorang rakannya dan mendapati terdapat perbezaan harga yang ditawarkan berbanding yang dijual di kedai atau di pasar raya.

“Walaupun sesetengah barangan harganya tidak jauh beza dengan harga pasaran, namun apabila saya membeli dalam kuantiti yang banyak, akan ada penjimatan, jadi ia membantu saya apatah lagi dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat meneruskan program ini dengan lebih kerap dan mempelbagaikan barangan jualan seperti sayur-sayuran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi program itu, Datuk Azizul Rahman Mohd Hussain berkata ia merupakan kali ketiga diadakan di Parlimen itu selepas di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang dan PPR Jelatek.

“Rentetan daripada kejayaan program ini dan hasil sambutan orang ramai yang hangat, kita  merancang untuk mengadakan mini pasar tani kekal di Masjid Ar-Rahimah dekat sini pada masa akan datang.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan beliau menyokong usaha itu dan akan membantu dari segi bekalan barangan jualan daripada agensi itu,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *