VIENTIANE, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia berpendirian bahawa isu-isu berkaitan keselamatan di Laut China Selatan (LCS) perlu ditangani secara rundingan.

Malah, katanya semua pihak diminta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di wilayah maritim itu.

Perdana Menteri dalam intervensinya semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-29 di sini berkata perkara berkenaan turut dipersetujui semua pemimpin ASEAN.

“Mereka (pemimpin ASEAN) mempunyai pendapat yang sama dan ini (perkara itu) dibawa ke dalam Sidang Kemuncak ASEAN-China,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini malam Rabu.

Najib berkata sidang itu turut menyasarkan supaya Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan Pemakaian Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kalau DOC dan COC ini dilaksanakan, kita boleh uruskan isu Laut China Selatan tanpa ada ketegangan,” katanya.

Selain itu, perdana menteri berkata sidang itu juga bersetuju pelaksanaan  Kod Pertembungan Tidak Terancang di Laut (CUES) dan garis panduasn talian bebas dalam kalangan pegawai kanan Kementerian Luar negara anggota ASEAN dan China digunakan jika berlaku kecemasan di wilayah maritim itu.

“CUES ini akan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di Laut China Selatan,” katanya.

Isu berkaitan LCS kebelakangan menjadi isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti perkembangan di LCS, keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim dan isu-isu keselamatan yang lain.

Perdana menteri hari ini mengetuai program padat delegasi Malaysia pada hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN hari ini yang bermula dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-29, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu yang melibatkan China, Jepun, Korea Selatan, ASEAN Campur Tiga, Australia, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Najib turut mengadakan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang, bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.

“Perbincangan dua hala itu turut berkisar berkenaan lawatan rasmi saya ke China yang dijadualkan pada 1 hingga 2 Nov akan datang,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *