SHAH ALAM, Jabatan Mufti Negeri Selangor memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April lepas dan boleh diikuti melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor www.muftiselangor.gov.my.

Sehubungan itu, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam kenyataan di sini hari ini  berterima kasih kepada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berhubung penjelasan berkaitan hukum melibatkan  pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB.

Menurutnya  perkembangan ini adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tahun 2008 yang memutuskan pelaburan unit amanah ASNB berserta dividen dan bonus yang diperoleh adalah harus.

Selain Selangor, negeri lain yang turut memutuskan pelaburan ASNB sebagai harus adalah  Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak.

Abdul Wahid juga berjanji untuk memenuhi permintaan  Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor  yang  meminta PNB untuk meneruskan usaha-usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan tersebut menepati syarak sepenuhya.

Menurutnya hukum pelaburan ini akan dikaji semula selepas tiga tahun bagi memastikan peraturan pelaburan patuh syariah ASNB adalah melebihi 75 peratus.

Beliau juga percaya dengan perkembangan terkini itu,  para pelabur Islam di Selangor kini lebih yakin dengan hukum pelaburan dalam unit-unit amanah ASNB dan diharap dapat menyakinkan mereka untuk terus meningkatkan pelaburan masing-masing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *