PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Hotel Perdana dan PNB Ilham Resort mengunjur jualan sebanyak RM80,000 bagi bilik penginapan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 yang akan berakhir Khamis ini.

Pengurus Residen PNB Ilham Resort Port Dickson Raja Azukri Raja Adam berkata setakat hari ini, jualan bagi ketiga-tiga kumpulan hospitaliti itu ialah sebanyak RM50,000 hasil daripada jualan 100 buah bilik.

Beliau berkata jualan 100 buah bilik sempena MSAM 2016 itu adalah antara yang tertinggi setakat ini.

“Ia boleh dianggap antara yang tinggi kerana Tapah merupakan kawasan luar bandar. MSAM ini bukan sahaja menerima sambutan dari penduduk di Perak, malah dari negeri lain,” katanya ketika ditemui pemberita di karnival jualan dan pameran MSAM 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini, hari ini.

Meskipun hanya berbaki dua hari lagi, pihaknya akan terus memperhebatkan promosi kepada pengunjung yang hadir, katanya.

Raja Azukri berkata diskaun yang ditawarkan kepada pengunjung melalui promosi “ate… moh kite pakat bercuti kome!!!” boleh didapati di gerai pameran sehingga Khamis ini dan tawaran itu sah sehingga 20 April 2017.

Beliau berkata kumpulan hospitaliti itu berhasrat menonjolkan peranan sebagai hotel Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang patuh syariah kepada orang ramai sepanjang penyertaan pada MSAM 2016.

Antara promosi yang ditawarkan ialah penginapan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park di Kuala Lumpur serendah RM150 selama dua hari satu malam untuk bilik studio, manakala bilik Deluxe ditawarkan pada RM280 berbanding RM620 pada harga biasa bagi satu malam.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *