Hospital Kuala Lumpur (HKL) menafikan semua tuduhan seorang pemilik laman Facebook yang mendakwa rawatan kebakaran kepada pesakit kanak-kanak lebih teruk dari haiwan.

Semua dakwaan dibuat individu dipercayai ejen syarikat insurans berkenaan telah menjadi tular di media sosial pada 21 Oktober lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain berkata, kenyataan yang dilemparkan di FB tersebut adalah tuduhan palsu dan telah mencemarkan imej HKL sebagai pusat merawat pesakit luka bakar dan kelecuran negara.

“Pesakit kanak-kanak yang dimaksudkan dalam tular itu adalah kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang melecur 10 peratus kerana terkena air panas pada kejadian di rumahnya, 21 September lalu.

“Selepas kejadian, pesakit dibawa ke Hospital Az Zahrah dan seterusnya dirujuk ke HKL pada hari yang sama dan setibanya di HKL, rawatan segera telah diberikan di bawah pengurusan Unit Rawatan Kebakaran Institut Pediatrik, dan turut dirujuk kepada disiplin-disiplin lain kerana rawatan kebakaran memerlukan pendekatan secara holistik dan multidisiplin untuk mengoptimumkan perawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, pesakit telah diberikan rawatan sewajarnya iaitu cucian luka di wad mengikut rutin yang telah ditetapkan pakar yang merawat termasuk pembersihan luka (yang dijalankan di bilik pembedahan dengan pembiusan.

Katanya, selain itu pesakit diberikan ubat tahan sakit secara berkala dengan ubat-ubatan yang bersesuaian di wad bagi memastikan pesakit selesa.

“Antibiotik juga diberikan untuk menghindar dan merawat jangkitan kuman.  Adalah mustahil pesakit tidak merasa sakit mahupun trauma akibat kelecuran tersebut, namun dengan rawatan dan ubat tahan sakit yang diberikan mampu mengurangkan kesakitan tersebut seperti aspirasi ‘pain free hospital’ yang menjadi matlamat utama HKL.

“Pakar perubatan yang merawat telah menetapkan satu tarikh untuk pesakit menjalani ‘Superficial Skin Grafting’, namun waris pesakit memilih untuk didiscaj sebelum tarikh prosedur tersebut untuk mendapatkan rawatan susulan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) kerana mahukan keselesaan terutamanya untuk waktu lawatan,” katanya.

Jelas beliau lagi, mengikut protokol Unit Rawatan Kebakaran, Institut Pediatrik, HKL hanya ibu bapa/penjaga sahaja yang dibenarkan melawat dan hanya ibu atau penjaga wanita sahaja yang dibenarkan menjaga pesakit di wad.

“Ibu bapa juga tidak dibenarkan berada di bilik rawatan semasa prosedur dijalankan.  Protokol ini perlu mereka patuhi bagi memastikan persekitaran wad sentiasa bersih untuk mengurangkan jangkitan kuman kepada pesakit lain yang juga menerima rawatan kebakaran dan kelecuran di unit tersebut.

“Pada 12 Oktober, pesakit telah didiscaj dan seterusnya menyambung rawatan di SJMC setelah pakar SJMC bersetuju menerima pesakit tersebut.  Keadaan luka pesakit bertambah pulih semasa discaj,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *