Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak memberitahu suara rakyat Malaysia di Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Ahad lalu, berjaya mendapat perhatian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Menurutnya, OIC akan mengadakan mesyuarat peringkat menteri luar dalam masa terdekat bagi membincangkan  isu penindasan Rohingya.

“OIC dah dengar suara (rakyat Malaysia) dan mereka hendak adakan persidangan peringkat menteri luar dan kita sedang berurusan dengan sekretariat OIC.

“Jadi maknanya apa yang saya suarakan dalam perhimpunan aman mendapat perhatian OIC,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Penubuhan Iskandar Malaysia di Kompleks Sukan Educity.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim.

Selain itu, Najib berkata, himpunan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu bukan  tunjuk perasaan, sebaliknya ia dianjurkan secara aman dan mendapat kelulusan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Ini berbeza dengan Bersih 5. Bersih 5 itu adalah  demonstrasi jalanan.

“Mereka tak dapat permit.. bukan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Kita berhimpun secara aman, teratur dan kita menunjukkan pendirian kita atas nama rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kehadirannya juga pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya itu kerana mahu suara rakyat Malaysia didengari dan diberi perhatian.

Terdahulu, perhimpunan aman itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan Umno dan Pas serta lebih 20,000 hadirin termasuk etnik Rohingya yang berada di Malaysia.

Himpunan aman solidariti itu dianjurkan bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya terutama di perkampungan Rohingya di Rakhine.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *