SERIAN, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN, 3 Januari adalah mesyuarat biasa parti berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN menegaskan tiada apa istimewa mengenai mesyuarat itu, malah ia perkara biasa dilakukan BN, yang turut membabitkan kehadiran dalam kalangan parti komponennya.

“Ia mesyuarat biasa saja, tiada apa yg istimewa. Di luar pengetahuan saya sekiranya apa-apa yang istimewa sepanjang mesyuarat itu berlangsung nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Jantan dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustaffar Ali.

BH sebelum ini melaporkan pucuk pimpinan tertinggi dijadual mengadakan mesyuarat khas di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 3 Januari dan akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 12 Disember lalu tetapi ditunda ke tarikh baharu itu bertujuan mengemaskini persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijangka diadakan pada suku pertama tahun depan, khususnya bagi memperkukuhkan jentera di peringkat akar umbi.

Malah, mesyuarat itu juga bagi proses penelitian terakhir senarai pencalonan dikemukakan setiap parti komponen bersandarkan elemen ‘boleh menang’ dan disenangi rakyat di peringkat akar umbi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *