MELAKA, Semasa musim Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, penerangan dengan fakta lengkap bersama statistik adalah penting bagi memastikan pengundi memahami segala isu yang cuba disampaikan dan menangkis ‘serangan’ berita palsu.

Namun, kekeliruan pasti akan timbul dalam kalangan pengundi apabila isu itu diterangkan dengan cara yang terlalu kompleks terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

Justeru, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah mengambil pendekatan penerangan ‘cara kampung’ dengan menggunakan istilah yang lebih ringkas dan mudah difahami serta secara bersemuka dengan rakyat di kawasan yang akan ditandinginya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, khususnya penduduk kampung.

Abu Bakar berkata, pengundi perlu diberikan penerangan terbaik supaya mereka tidak keliru dalam memilih calon serta parti yang boleh membela nasib mereka.

“Rakyat keliru apabila ada kata Malaysia negara yang harga barang naik, saya nak cerita mana ada negara dalam dunia ini harga barangnya tidak naik, jadi saya nak terangkan isu ini kepada pengundi dengan cara kampung supaya pengundi faham kerajaan sekarang berusaha keras untuk kawal harga barang.

“Isu seperti GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), dulu orang mengadu kenapa orang kaya kena cukai sama dengan orang miskin, jadi kini kita bezakan dan kemudian GST itu ada komponennya dijadikan BR1M, ini semua perlu diterangkan dan pada saya terangkan cara kampung itu terbaik,” dipetik sebagai berkata.

Selain Abu Bakar yang mewakili Barisan Nasional (BN), setakat ini, dua lagi calon yang akan bertanding di DUN Paya Rumput ialah Mohd Rafiq Naizamohideen (PKR-PPBM) dan Rafie Ahmad (PAS). Pada PRU lepas calon BN Sazali Muhd Din menewaskan Taha Ahmad (PKR) dengan majoriti 1,270 undi.

Abu Bakar berkata dalam berkempen pada PRU-14 ini adalah lebih baik buat calon yang bertanding menerangkan kepada rakyat apa yang parti mereka tawarkan dan mampu lakukan untuk pengundi, daripada menabur fitnah atau menyebar berita palsu.

“PRU-13 dahulu saya terangkan apa parti nak buat, apa BN nak buat jadi kita tidak menyentuh hal peribadi atau keluarga. Jadi pertandingan (pada PRU-14) menjadi politik sihat. Saya akan teruskan (PRU-14) pergi semua kawasan hingga ke ceruk kampung terangkan isu semasa dan apa yang BN buat untuk pengundi,” katanya.

Beliau berkata, selain penerangan cara kampung, beliau juga akan terus menggunakan media sosial terutamanya Facebook bagi menunjukkan kepada pengundi apa yang dilakukannya dan menerangkan isu berkaitan, dan cara ini menurutnya amat berkesan.

“Saya ada lebih 21,000 pengikut dalam FB (Facebook) memang media sosial sangat berkesan, memang ada yang negatif tetapi itu tidak perlu jadi kerisauan. Saya melayan hampir 500 mesej (Facebook) sehari, malah ada hari tertentu jejak 1,000 mesej, dan saya baca serta jawab mesej ini.

“Rakyat menggunakan medium ini untuk memohon bantuan terus kepada saya, ada minta beras, gula dan barang keperluan lain termasuk kerusi roda, tongkat dan lampin pakai buang. Ada juga minta bantuan bahan perubatan, jadi saya tahu apa rakyat perlukan dan saya beri bantuan ini terus kepada mereka,” katanya.

Ditanya apakah komponen paling penting dalam menjaga rakyat, Abu Bakar berkata kemudahan awam diselenggara baik dan dinaik taraf bila tiba waktunya seperti jalan raya adalah komponen terpenting dalam memastikan rakyat sentiasa percaya kepada kebolehan sesebuah kerajaan menjaga mereka.

Beliau berkata dalam memastikan perkara ini direalisasikan, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu beroperasi dengan lebih cekap dan pada tahap yang optimum.

“Saya kata kalau nak menang PRU di mana juga kawasan PBT mesti sentiasa cekap. Mana sahaja selalunya yang saya dengar orang cakap jalan berlubang, paip pecah, longkang tak elok ini kerja PBT. Kalau PBT boleh sampaikan kepada rakyat dengan baik BN akan menang dengan cemerlang.

“Kerana itu jika tengok saya duduk atas jalan berlubang berdoa semua bukan saya nak popular tetapi saya percaya bila kemudahan awam diselenggara baik, rakyat akan gembira dan menaruh kepercayaan tinggi kepada BN,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *