Pengundi di Parlimen Sungai Besar khususnya golongan petani harus mengambil iktibar terhadap tindakan kerajaan negeri Selangor yang dikatakan cuba menghalang bantuan disalurkan kepada mereka termasuk membabitkan projek pembinaan kolam takungan air Parit 4 di Sungai Haji Dorani di sini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata golongan petani di kawasan itu juga harus sedar dan menilai siapa yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan membela nasib mereka.

Beliau mendakwa kerajaan negeri Selangor sebelum ini cuba menghalang projek pembinaan kolam takungan air itu dan menyita kesemua jentera yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan atas alasan kerajaan pusat memasuki tapak projek tanpa kebenaran.

“Akhirnya, kerajaan negeri mengenakan denda kepada kerajaan pusat (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) lebih RM600,000 serta kompaun jentera disita sejumlah RM150,000 dan ia telahpun dibayar kerajaan pusat demi kebaikan golongan pesawah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru di sini pada rabu.

Noh, yang juga bekas menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, projek pembinaan kolam takungan air bernilai RM26 juta yang siap dibina pada 2014 itu dilihat amat membantu pesawah dalam menghadapi fenomena El-Nino yang melanda seluruh negara.

Berhubung senarai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Noh berkata antara nama yang dikemukakan terdiri daripada golongan guru.

“Saya juga mengadakan perjumpaan dengan timbalan perdana menteri hari ini untuk menyelaras program sempena PRK itu. BN yakin menang dengan majoriti lebih tinggi lagi berbanding pilihan raya umum lepas,” katanya.

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti hanya 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *