Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bertanggungjawab mengelirukan Kabinet dan Parlimen mengenai kerugian sebenar tukaran wang asing yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM).

Berdasarkan kebertanggungjawaban Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu, Suruhanjaya Siasatan Untuk Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an mencadangkan satu siasatan dibuat bagi mengesahkan kesalahan Anwar menyembunyikan kerugian sebenar tukaran wang asing BNM mengikut Seksyen 417 dan 418 Kanun Keseksaan.

Laporan itu mendedahkan, Anwar membuat keputusan berkenaan pengolahan perakaunan bagi untung rugi, jual beli saham dan pengeluaran surat jaminan bagi membolehkan Ketua Audit Negara mengeluarkan sijil audit bersih bagi Laporan Tahunan BNM 1993.

Menurut laporan itu, dengan mengemukakan laporan tahunan kepada Kabinet dan tidak mendedahkan perihal sebenar, Anwar dengan sengaja menyebabkan Kabinet meluluskan Laporan Tahunan 1993 untuk diwartakan dan dikemukakan kepada Parlimen.

“Pemberian gambaran yang salah ini meliputi memaklumkan kepada Kabinet pada 6 April 1994 terdapat ‘kerugian atas kertas RM9 bilion dalam tahun 1992’. Sungguhpun beliau mengetahui kerugian sebenar urus niaga forex pada 1992 adalah RM12.353 bilion seperti tercatat dalam surat Tan Sri Ishak Tadin kepada beliau.

“Kabinet mengambil maklum bahawa BNM sepatutnya boleh dipuji kerana berjaya mengurangkan kerugian dalam urus niaga pertukaran mata wang asing daripada RM9 bilion kepada RM5.7 bilion.

“Adakah Kabinet akan meluluskan Laporan Tahunan itu jika tidak dikelirukan adalah menjadi persoalan fakta yang perlu disiasat seterusnya. Terdapat keperluan bagi siasatan lanjut sama ada ‘penipuan’ itu menyebabkan atau besar kemungkinan menyebabkan kerosakan atau kemudaratan kepada sesiapa sahaja dari segi tubuh, minda, reputasi atau harta,” menurut laporan itu.

Sementara itu, suruhanjaya berkenaan tidak dapat menerima dakwaan Tun Daim Zainuddin yang menjadi Menteri Kewangan, bermula 14 Julai 1984 hingga 15 Mac 1991, bahawa beliau tidak mengetahui hal ehwal BNM khususnya berkaitan dengan urus niaga forex.

Menurut laporan itu, Daim dalam kenyataannya mendakwa bahawa sebagai Menteri Kewangan, beliau tidak mempunyai kewajipan untuk mengawasi operasi BNM atau memberi taklimat secara berkala kepada Perdana Menteri atau Kabinet mengenai operasi BNM.

“Beliau menafikan mengetahui dan/atau pernah dimaklumkan mengenai pembabitan BNM dalam urusan niaga forex, jenis urus niaga forex, tujuan urusan forex, kerugian tahun 1988 dan 1989 atau sebarang perubahan dasar BNM dalam urusan forex. Beliau mendakwa pemerhatian audit daripada Ketua Audit Negara mengenai urusan forex BNM tidak pernah dibawa kepada perhatiannya.

“Kenyataan olehnya adalah bertentangan dengan kehendak peruntukan undang-undang mengenai peranan Menteri Kewangan berkaitan dengan BNM. BNM jelas disenaraikan sebagai satu institusi di bawah tanggungjawab Menteri Kewangan,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, suruhanjaya mendapati jika Daim benar-benar tidak mempedulikan hal ehwal BNM yang menyebabkan kerugian berbilion ketika tempoh perkhidmatannya, maka Daim gagal dengan serius dalam tugas berkanunnya kepada negara.

Menurut laporan itu, jika Daim lebih bertanggungjawab dan menjalankan penyeliaan yang lebih teliti, urusan forex yang berlebihan atau spekulasi boleh dihentyikan lebih awal dan kerugian yang ditanggung akan kurang atau terkawal.

“Dengan membiarkan BNM bertindak sendiri ke atas urus niaga tukaran mata wang asingnya, IW23 (Daim) telah meninggalkan, menyokong dan bersubahat dengan tindakan CBT (kesalahan jenayah pecah amanah) IW17 (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop),” menurut laporan itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *