Pengerusi Ferrari, Sergio Marchionne, berkata pasukan itu akan membuat perubahan bagi meningkatkan kualiti komponen selepas kedua-dua jentera mereka mengalami kerosakan enjin pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia, hujung minggu lalu.

Pencabar kejuaraan, Sebastian Vettel bermula di petak terakhir selepas mengalami masalah ketika sesi ujian kelayakan manakala rakan sepasukannya, Kimi Raikkonen yang sepatutnya memulakan aksi di kelompok hadapan terpaksa menarik diri sebelum perlumbaan bermula.

Masalah itu hadir selepas kedua-dua pemandu Ferrari itu berlanggar dan terkeluar daripada saingan pada permulaan perlumbaan GP Singapura, dua minggu sebelum itu.

“Hakikat yang semalam Ferrari boleh menewaskan semua orang tidak boleh dinafikan,” kata Marchionne kepada pemberita ketika satu majlis di Rovereto,Utara Itali.

“Ia juga berlaku di Singapura. Tanpa faktor luaran, jentera kami pasti akan menjadi yang pertama dan kedua. Dan itu sangat positif.”

Marchionne, berkata pasukan ketika ini boleh disifatkan masih muda dan sedang mencari jalan selepas penstrukturan semula yang dijalankan tahun lalu.

Katanya, walaupun usia Ferrari sudah memasuki 70 tahun namun komponen yang digunakan perlulah lebih baik.

“Kami menangani keseluruhan masalah dengan pendekatan yang berbeza. Ia sesuatu yang buruk apabila kamu perlu meninggalkan grid sebelum perlumbaan bermula, ia cukup merisaukan,” katanya.

Pemandu berusia 20 tahun dari Red Bull, Max Verstappen bergelar juara pada saingan GP Malaysia manakala Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Walaupun sekadar tempat kedua, ia cukup untuk dia melebarkan kelebihan sebagai pendahulu kejuaraan dunia dengan Vettel kepada 34 mata berbaki lima perlumbaan. – REUTERS

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *