Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap semua peminat bola sepak tempatan agar bersabar dan jangan cepat melenting untuk melihat siapa jurulatih kebangsaan yang kini masih dalam pencarian.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM perlu betul-betul teliti untuk memilih siapa jurulatih yang boleh memikul tugas untuk mengendalikan Harimau Malaya dalam jangka masa yang panjang.

“Presiden yang ada sekarang ini sedang menguruskan organisasi yang diambil dari pengurusan yang lama. Di mana dana yang berbaki sedia ada hanya sedikit sahaja ditinggalkan.

“Jika hendak memilih jurulatih, bukan sahaja kita perlu cari jurulatih yang mempunyai latar belakang yang bagus tetapi juga yang boleh terima tawaran daripada kita.

“Perlu dimaklumkan bahawa tawaran kita tidaklah begitu tinggi kerana FAM tidak berduit. Namun begitu, ramai tidak tahu bahawa Tunku Presiden (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) menggunakan duit beliau sendiri untuk menambah bajet tersebut bagi melantik dan mendapatkan jurulatih yang lebih berkaliber,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Hamidin , buat masa ini sudah ada satu calon daripada Portugal, dan seorang lagi calon akan berjumpa dengan Tunku Presiden beberapa hari lagi.

Tambahnya, Tunku Ismail juga tidak mahu bercakap banyak kepada pihak media kerana perkara ini masih dirahsiakan dan hanya boleh kongsikan dengan pihak media selepas perkara ini telah disahkan

“Memilih jurulatih ini bukan seperti membeli buku, yang boleh main ambil sahaja.

“Sekiranya jurulatih tidak bagus dan suatu hari kita mahu buang, kita akan kena bayar lebih lagi,” tambahnya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *