KUALA LUMPUR, Fahrin Ahmad, Jihan Muse dan Shuk Balas diberi kepercayaan untuk menjadi hos Anugerah Skrin (ASK) 2017 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 3 November nanti.

Anugerah kali ini mempertaruhkan 33 kategori bertemakan Mencipta Fenomena. Antara kategori yang dipertandingkan adalah Drama Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Filem Terbaik dan Pelakon Komedi Terbaik.

Fattah Amin, Nabila Huda, Neelofa, Raja Illya, Rozita Che Wan, Shukri Yahya dan Zul Ariffin adalah antara barisan penyampai trofi pada malam itu.

Bagi memeriahkan suasana, ASK2017 bakal menampilkan persembahan daripada Akim & The Majistret, Haqiem Rusli, Nora Ariffin, Ayda Jebat, Hael Husaini, Zizan Razak, Black dan Jaclyn Victor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, tema Mencipta Fenomena yang dipilih tahun ini mempunyai signifikan tersendiri.

“Tema itu dilihat tepat sebagai usaha memartabatkan pengorbanan semua penggiat seni tidak kira di hadapan atau di belakang tabir.

“Ini adalah edisi ke-21, dan sehingga tahun ini, ASK masih relevan dan memainkan peranan sebagai pemangkin industri penyiaran agar karyawan terus mencipta fenomena,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Johan berkata, beberapa pembaharuan diperkenalkan kali ini antaranya majlis Prelude ASK 2017 yang dihoskan oleh penyampai radio Kool FM, Haiza dan Issey Fazlisham.

“Terima kasih juga kepada RTM, HyppTV dan BERNAMA kerana sekali lagi menyokong ASK 2017 dengan menghantar pencalonan,” katanya.

Daripada 33 kategori dipertandingkan, pemenang 13 kategori akan diumumkan pada sebelah petang hari berlangsungnya kemuncak ASK 2017.

Penonton di rumah juga akan dihiburkan dengan persembahan Haiza dan Aepul, Aiman Tino selain Tajul dan Wany Hasrita.

ASK 2017 mendapat kerjasama penaja utama, Olay; penaja bersama Oppo dan rakan penaja McCafé.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *