Kerajaan Johor akan mengharamkan penggunaan polistirena dan plastik di negeri ini mulai Januari 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Ayub Rahmat berkata, bagi tujuan itu satu rangka tindakan dan pelan hala tuju biorosot dan biokompos akan dijalankan bagi memastikan kerancakan pembangunan ekonomi dan tabiat konsumerisme domestik tidak membelakangkan kepentingan kelestarian alam sekitar.

Dengan pengumuman itu, Ayub sekali gus menyangkal dakwaan pembangkang dan menyifatkan mereka berkhayal dan ‘tidur’ dengan mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri tidak menunaikan janji bagi isu pengharaman polistirena.

“April lalu kita komited dalam menangani isu ini secara teratur dan terancang serta perlu mengambil kira faktor dalam proses pelaksanaannya malah pada 17 November lalu  Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) telah menggariskan beberapa peruntukan dalam memastikan inisiatif mengawal penggunaan polistirena ini.

“Buat permulaan, mulai Jun ini kita menggalakkan pasaraya besar di negeri ini untuk tidak menggunakan bahan ini sebelum ia akan dikuatkuasakan secara menyeluruh menjelang awal tahun 2018,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Ayub menegaskan, kerajaan negeri tidak berhasrat menggunakan pendekatan denda atau kompaun sebagai memastikan keberkesanan penguatkuasaan ini sebaliknya memilih pendekatan kesedaran dan pendidikan dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak perlu terikut cara negeri lain. Perkara ini kerap kali disentuh dalam dewan, mungkin Adun pembangkang ini ‘tertidur’.

“Kajian terperinci mengenai impak kepada keseluruhan ekosistem, proses perlaksanaan oleh semua kumpulan masyarakat, peniaga, pengusaha makanan dan pengguna perlu diberi perhatian,” katanya.

Malah sebanyak RM250,000 telah diluluskan kerajaan negeri kepada agensi bertanggungjawab bagi menjalankan kajian lengkap dan menyeluruh bagi meminimumkan penggunaan dan kebergantungan bahan bungkusan plastik dan polistirena.

Terdapat 1,800 tan sampah di Johor setiap hari dengan 360 tan daripada merupakan sampah plastik dan polistirena.

Kira-kira 80 peratus daripada 160 tan sampah yang dibersihkan di Sungai Skudai, di sini, melibatkan bahan polistirena.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *