Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berhasrat untuk menaja pasukan Liga Perdana, UiTM FC kerana percaya pasukan itu boleh ‘diangkat naik’ ke Liga Super, musim depan.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida kini sedang mengadakan rundingan dengan pasukan Lion Troops yang dilihat berpotensi dan sesuai untuk menjadi skuad kedua mewakili pasukan Millenia dalam masa terdekat pada musim ini.

Katanya, beliau tertarik dengan pasukan terbabit memandangkan mereka bebas dan tidak mewakili mana-mana negeri selain dibarisi pemain kebanyakannya daripada pelajar mereka sendiri.

“Saya ingin menaja UiTM FC kerana percaya pasukan itu boleh diangkat naik ke Liga Super musim depan. Saya akan membantu pasukan ini dengan memberi sokongan melalui suntikan tajaan supaya mereka dapat bersaing dan kekal sekurang-kurangnya di tempat kedua Liga Perdana, musim ini.

“Saya mahu dua pasukan yang akan diwakili saya (tajaan) dalam Liga Malaysia (Liga M). Selain Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW), saya mahu taja UiTM FC dalam usaha menyemarakkan lagi sukan bola sepak di negara ini. Biarlah satu lagi pasukan selain skuad Kijang mampu bersaing untuk menjadi pencabar kejuaraan itu nanti,” katanya.

Ketika ini, UiTM FC menduduki tangga ketujuh liga selepas mengumpul lapan mata. Kedudukannya hanya dibezakan dengan tiga mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Kuala Lumpur yang mengutip 11 mata daripada lima perlawanan.

Dalam perkembangan lain, Dr Vida juga bercadang akan melawat Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, Jeddah selain merisik pemain di negara Timur Tengah itu pada Mei ini.

“Pada awalnya saya hanya ingin melakukan umrah pada Mei ini, tapi ada ejen memberi cadangan untuk bawa saya ke stadium dan mengintai pemain di negara terbabit.

“Alang-alang sudah berada Arab Saudi, saya mahu mencari calon terbaik untuk digantikan dengan pemain import yang hambar nanti. Saya mahu menyaksikan depan mata sendiri cara mereka bermain, bukannya melalui rakaman video semata-mata,” katanya dipetik sebagai berkata.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *