Pengasas syarikat produk kecantikan dan kesihatan, Vida Beauty Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman sedang mengintai peluang untuk membeli saham syarikat penerba­ngan patuh syariah, Rayani Air.

Hasmiza, 44, yang lebih popular dengan Dr. Vida berkata, beliau sedang menilai saham syarikat penerbangan terbabit yang banyak terpalit dengan kontroversi sebelum ini.

Menurut usahawan ternama itu, adalah menjadi satu kerugian besar jika syarikat penerbangan itu ditutup kerana melibatkan laluan ke Kota Bharu.

“Kita tahu ramai rakyat Kelantan bekerja di Lembah Kelang, bila Ra­yani Air ditutup mereka sudah tidak mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan pener­bangan.

“Sekiranya kena dengan harga, apa salahnya saya mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk membeli saham-saham Rayani Air,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagen­drran dilaporkan bersedia untuk melepaskan sebahagian pegangan sahamnya kepada mana-mana pelabur demi memastikan syarikat penerbangan itu terus berkembang dan kekal relevan dalam industri.

Ravi yang juga pemilik Rayani Air berkata, kekurangan dana merupakan antara faktor utama syarikat penerbangan itu berdepan dengan masalah sehingga timbul tindakan mogok yang dilancarkan juruterbangnya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ravi menjelaskan, keputusan melepaskan pega­ngan saham itu bukan bertujuan untuk ‘menjual’ syarikat penerbangan yang dibinanya selama ini bersama isteri, Datuk Karthiyani Govindan.

Sebelum ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggantung sementara operasi syarikat penerba­ngan, Rayani Air selama tiga bulan kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dr. Vida memberitahu, beliau tertarik dengan Rayani Air kerana konsep patuh syariah yang diamalkan oleh syarikat tersebut.

“Saya akan bertemu dengan pemilik syarikat ini untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung Rayani Air.

“Industri penerbangan mempu­nyai prospek yang luas di masa depan dan saya amat berminat untuk mengembangkan perniagaan saya dalam bidang ini pula,” kata­nya.

Selain mengasaskan syarikat yang popular dengan produk jenama Qu Puteh, Dr. Vida turut menyuntik sejumlah dana kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi mengendalikan pasukan bola sepak Kelantan yang juga dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *