Sebanyak 26 rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Puchong disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) malam tadi, selepas didapati menyewanya kepada warga asing atau dihuni penghuni tidak sah.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL Wan Mohd Ghazali Nor berkata kesalahan itu dikesan melalui operasi bersepadu yang dijalankan untuk mengesan penyewa rumah PPR yang menyalahgunakan kemudahan itu.

“Menerusi operasi ini, dua unit yang disewa kepada warga asing telah disita serta-merta manakala 24 lagi akan diberi notis 14 hari untuk mengosongkannya, sebelum disita kerana menyewakannya kepada penghuni tidak sah.

“DBKL tidak akan berkompromi kepada mereka yang didapati menyalahgunakan kemudahan rumah PPR ini untuk mengaut keuntungan … mereka menyewa hanya dengan harga RM124 tetapi sewakan semula dengan harga berganda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Pelanggaran Syarat-Syarat Penyewaan PPR DBKL, di PPR Kampung Muhibbah Puchong, Jumaat malam.

Wan Mohd Ghazali berkata semua penyewa rumah itu telah melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Perumahan Awam (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2000.

Katanya sebelum ini, DBKL telah menyita dan merampas semula 114 rumah PPR atas kesalahan sama bagi tempoh Januari sehingga 22 April 2016 melalui siri Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *