Perbuatan ‘curi rakam’ dan menyiarkan secara langsung filem tempatan melalui media sosial dibimbangi menjadi aliran baru dalam kalangan penonton hingga dikhuatiri menjejaskan kutipan.

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mahu pihak berkuasa segera menyiasat kes ‘curi rakam’ serta mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan cetak rompak era digital.

Presiden PFM, Datuk Norman Abdul Halim, berkata persatuan mendapati masalah ‘curi rakam’ dan menyiarkan secara langsung filem ditonton melalui Facebook (FB) Live makin menular.

“Mungkin mereka yang menyiar secara langsung atau memuat naik rakaman filem ditonton tidak sedar tindakan itu dianggap satu kesalahan jenayah.

“Jika peminat filem mahu menyokong promosi mana-mana filem, cukuplah sekadar berkongsi kandungan seperti sedutan video, muzik atau filem.

“Kandungan ini boleh didapati daripada sumber rasmi yang dimuat naik pengedar atau penerbit di laman web atau media sosial rasmi mereka,” katanya dalaam satuy kenyataan dimuat naik di Facebook (FB) PFM.

Semalam, syarikat produksi, Skop Production Sdn Bhd membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, dekat sini selepas seorang individu didakwa memuat naik sedutan filem Abang Long Fadil 2 selama 30 saat di laman sosial Instagram.

Awal bulan ini, penerbit filem Kau Yang Satu membuat laporan berhubung tindakan dua individu yang didakwa membuat lintas langsung melalui laman FB ketika menonton filem berkenaan di pawagam.

Penerbit filem dibintangi Aaron Aziz dan Izara Aishah itu mendakwa pihaknya kerugian RM3 juta apabila semakan mendapati lebih 200,000 tontonan direkodkan sepanjang tempoh penyiaran itu, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Zahrin Aris berkata, orang ramai perlu tahu pemilik hak cipta berhak mengambil tindakan undang-undang sivil bagi tuntutan ganti rugi.

“Tindakan undang-undang jenayah boleh diambil dengan hukuman denda RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan cetak rompak atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah di bawah Seksyen 41, Akta Hakcipta 1987.

“Kes cetak rompak yang berlaku ke atas filem Kau Yang Satu dan Abang Long Fadil 2 amat dikesali. Pihak berwajib harus mengambil tindakan tegas dan pantas bagi menangani masalah ini.

“Pihak pawagam juga perlu meningkatkan pemantauan pada setiap sesi tayangan. Mereka perlu bertanggungjawab jika ‘kebocoran’ berlaku dari lokasi pawagam mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *