LANGKAWI, Rancangan seorang lelaki untuk meraih puluhan ribu ringgit dengan menjual dadah di Langkawi terkandas apabila dia ditahan di pintu masuk ke pulau ini pada Isnin malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Dr Che Ghazali Che Awang hari ini berkata lelaki berumur 36 tahun itu ditahan di Terminal Penumpang Jeti Kuah kira-kira pukul 9 malam dan bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 946 gram ditemui di dalam beg silang yang dibawanya.

“Bahan itu disimpan di dalam dua paket plastik lutsinar yang dibungkus pula dengan kertas surat khabar di dalam beg itu, ” katanya kepada pemberita di sini.

Selain itu satu sampul surat berisi paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis Syabu seberat 51 gram turut ditemui di dalam beg itu dan suspek juga didapati positif mengambil dadah selepas ujian awal dibuat ke atasnya.

Che Ghazali berkata maklumat awal yang diperoleh mendapati nilai jualan dadah itu dianggarkan kira-kira RM37,500 dan mahu diedarkan sekitar kawasan Kuah dan Kedawang di sini.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *