Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu ada calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada semua presiden parti komponen dan pada prinsipnya mereka bersetuju.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selaku Pengerusi BN, juga bersetuju dengan permintaan Wanita BN itu.

“Perdana Menteri maklumkan kepada saya, presiden parti yang bijak kena ada calon wanita yang mereka calonkan dalam pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali anjuran Wanita BN dengan kerjasama Wanita MIC di Ibu Pejabat MIC, di sini malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy.

Pada majlis itu, Shahrizat yang juga Ketua Wanita UMNO turut mengumumkan sumbangan parti itu sebanyak RM20,000 untuk menjayakan program berkenaan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Wanita BN kepada 700 penerima termasuk golongan miskin dan memerlukan.

Shahrizat berkata, pencalonan pemimpin wanita sejajar program Jalinan Rakyat (JR) Plus yang menggerakkan jentera pilihan raya menggabungkan kekuatan di semua struktur dan sayap bagi menghadapi PRU-14.

“Saya yakin Wanita BN mampu memilih calon boleh menang, ada kredibiliti dan diterima rakyat,” katanya yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata, MIC akan menampilkan calon wanita yang sesuai, boleh menang dan diterima rakyat dalam pilihan raya.

“Bukan saja calon dalam pilihan raya, malah jika ada wanita berkarisma menjadi Presiden MIC pada masa depan, pun kami terima.

“Apa yang penting mereka perlu gigih dan ada kebolehan memimpin parti dan jika ini berlaku, lelaki boleh terima mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *