Cadangan untuk meminda Perlembagaan UMNO bagi memasukkan klausa baharu mengenai jawatan pemangku Timbalan Presiden adalah berasas, kata Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata saranan itu, yang diutarakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tidak harus dinilai atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

“Jika diteliti ucapan beliau (Ahmad Zahid), adalah jelas sekali kenyataannya itu mempunyai asas iaitu beliau telah melihat betapa rumitnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dahulu terpaksa menjalankan tugas tanpa pemangkuan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Menurutnya cadangan Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO dan menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, hendaklah dibawa ke peringkat parti terlebih dahulu sebelum sebarang pindaan Perlembagaan boleh dilakukan.

Justeru itu, katanya kenyataan itu tidak harus dipolemikkan kerana ia sangat jelas dan nyata.

Tengku Adnan berpendapat cadangan Ahmad Zahid dibuat bagi membawa penyelesaian jangka panjang untuk parti, dan bukannya atas kepentingan peribadi.

“Penyelesaian kepada keadaan seumpama ini, jika menurut Timbalan Perdana Menteri, juga harus meliputi jawatan-jawatan lain seperti pemangkuan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian apabila Ketua Bahagian meninggal atau seumpamanya,” katanya.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, Fasal 9.9 hanya menyentuh tentang pemangkuan jawatan presiden yang boleh dipangku oleh Timbalan Presiden sehingga diadakan pemilihan presiden baharu.

Fasal 9.10 pula menyebut tentang Naib Presiden yang boleh memangku jawatan Pemangku Presiden sehingga diadakan pemilihan baharu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *