Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui usaha untuk mengajak rakyat mengamalkan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah satu cabaran yang besar.

Hal ini kerana, kata beliau, wujudnya kumpulan ekstremis seperti Daesh yang cuba menyemai perasaan marah dan kebencian.

“Inilah yang jadi cabaran di mana naratif puak ekstrem atau militan ini untuk menghasut dan mengapi-apikan perasaan kebencian. Ia lebih mudah diterima daripada saranan kita untuk amalkan nilai-nilai murni yang dituntut oleh Islam seperti wasatiyyah.

“Saya anggap ini satu cabaran kita semua tak kira parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Kita mesti ada platform yang sama yakni wasatiyyah sebagai satu amalan atau cara hidup yang terbaik untuk kita,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh) dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam soalannya, Nik Mazian meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan bagi memastikan fahaman ekstremisme tidak merebak di negara ini.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) sama ada kerajaan bercadang memanggil pemimpin agama lain bagi membincangkan konsep wasatiyyah, Najib berkata, usaha ke arah itu akan dilakukan.

“Memang kalau kita kaji semua agama ada amalan yang boleh dikatakan universal walaupun kita berbeza daripada segi akidah. Tetapi daripada segi kebersamaan nilai, itu yang mesti ditekankan.

“Ini semua amalan yang baik di mana pemimpin agama lain mesti bekerjasama dan bersatu hati dalam hal ini,” katanya.

Menurut Najib, kerajaan juga bercadang memasukkan konsep wasatiyyah dalam ko-kurikulum di sekolah dan universiti.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *