Share on Facebook

IPOH, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan kebakaran ke atas semua pusat penamaan calon dan pusat pengiraan undi sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung.

Pengarahnya Datuk Yahaya Madis berkata ia adalah bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran di sekitar kawasan terlibat mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan.

“Kita perlu memastikan persekitaran kawasan tersebut bebas daripada sebarang bahaya, selain mempunyai laluan kecemasan secukupnya.

“Semasa kempen PRU14 diadakan pula, kita akan membuat rondaan di sekitar kawasan terlibat untuk memastikan tidak ada unsur-unsur yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran, terutama di kawasan ‘panas’,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2018 peringkat JBPM Perak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seramai 1,100 pegawai dan anggota JBPM negeri akan dikerahkan bertugas sepanjang PRU14 akan datang, katanya.

Yahaya berkata pihaknya juga akan membekukan cuti anggotanya semasa pilihan raya umum berlangsung.

“Anggota bomba kini juga dibenarkan untuk mengundi pos, oleh itu tiada halangan untuk mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi selain menumpukan tugas dengan lebih berkesan semasa pilihan raya umum nanti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya berjaya mencapai 59 peratus ‘response time’ dalam tempoh kurang daripada 10 minit berbanding sebelum ini hanya 47 peratus.

“Pencapaian ini adalah usaha dan pemantauan berterusan daripada semua pihak termasuk pegawai yang sentiasa bersiap sedia harian dan mingguan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *