PENGKALAN CHEPA, Semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada penagih dadah yang ingin pulih daripada masalah penagihan itu.

Isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis berkata mereka yang datang mendapatkan rawatan di pusat rawatan dan pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sememangnya mahukan pertolongan untuk pulih sepenuhnya.

“Jangan mereka terus dihukum dan dipinggirkan atas kesilapan di masa lalu, berilah mereka ruang dan peluang untuk terus mendapatkan rawatan sebaiknya dan akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat dalam keadaan yang pulih sepenuhnya,” katanya.

Hamidah yang juga Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kementerian Dalam Negeri, berkata demikian semasa berucap pada majlis kunjungan kasih ke Klinik Cure and Care 1Malaysia, Pengkalan Chepa di sini, pada selasa.

Hamidah juga berkata terapi kekeluargaan menjadi pendekatan utama dalam program rawatan dan pemulihan ke atas penagih dadah di Klinik Cure and Care 1Malaysia yang dikendalikan AADK.

“Pendekatan ini sangat menitikberatkan nilai serta suasana kekeluargaan, inilah yang menjadi dorongan dan semangat buat mereka yang ada di sini,” katanya.

Beliau turut berharap AADK akan terus melaksanakan program yang lebih berkesan dalam usaha memberi rawatan dan pemulihan kepada golongan berkenaan.

Terdahulu, beliau melawat Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) di Bachok.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *