Seorang bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JAS) isterinya dan penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 37 tuduhan menyeleweng dana infrastruktur berjumlah RM61.48 juta melibatkan wang tunai RM61.48 juta dan simpanan bank serta memiliki secara salah barangan mewah.

Bekas pengarah itu, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 54, mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah Piut, 51, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Hakim Ummu Kalthum Abdul Samad membenarkan Ag Mohd Tahir, Fauziah dan Lim masing-masing diikat jamin RM10 juta, RM2 juta dan RM1 juta dengan dua penjamin tempatan.

Mereka juga diperintah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah.

Terdahulu, peguam Hairul Vaiyron Othman, yang mewakili Ag Mohd Tahir dan Fauziah, dan peguam Chin Teck Ming, yang mewakili Lim, membantah jumlah ikat jamin seperti diminta pihak pendakwa itu dengan alasan anak guam mereka belum dibuktikan bersalah.

Hairul juga memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya mempunyai tiga anak, termasuk seorang yang sedang belajar di luar negara dan bergantung dengan ibu bapa mereka dari segi kewangan.

Ummu Kalthum menetapkan 28 Feb sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya daripada SPRM terdiri daripada Husmaruddin Hussin, Farez Rahman, Anas Mahathir, Rozanna Abd Hadi dan Rustam Sanip.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili panel tiga peguam dianggotai PJ Perira, Hairul Vaiyron dan Ariel C Dasan.

Ag Mohd Tahir ditangkap SPRM dalam Ops Water pada 4 Okt dan dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 setelah direman dua minggu, manakala Lim ditangkap pada 13 Okt.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *