Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan melayan permintaan Walt Disney untuk menayangkan filem Beauty and the Beast tanpa suntingan.

Timbalan Menteri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, filem itu akan dibenarkan ditayangkan hanya jika syarikat itu bersetuju dengan Lembaga Penapisan Malaysia (LPF) untuk menyunting adegan melibatkan watak homoseksual dalam filem itu.

Tambahnya, syarikat itu mungkin akan menerima keputusan menyunting filem itu jika ia dilakukan negara dengan pasaran lebih besar dari Malaysia seperti China, Rusia atau Amerika Syarikat.

“Saya percaya Disney akan setuju jika negara berkenaan yang mengarahkannya untuk tidak memberi kesan kepada penjualan tiket,” katanya selepas menghadiri majlis di Penjara Simpang Renggam di sini, Sabtu.

 Dilaporkan pada Khamis, Disney telah memfailkan rayuan kepada KDN berhubung keputusan untuk menyunting adegan falam filem itu.

Pada Selasa, Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid telah memberi lampu hijau terhadap filem Beauty and the Beast untuk ditayangkan di Malaysia dengan sedikit suntingan.

Filem itu diluluskan dengan klasifikasi filem P13 iaitu bimbingan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun dengan sedikit suntingan pada watak homoseksual.

Dibintangi Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai Beast dan Luke Evans sebagai Gaston, Beauty and the Beast adalah sebuah filem animasi klasik terbitan Disney, yang menjadi filem animasi pertama yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik Anugerah Oscar pada 1991.

Filem itu terpalit dengan kontroversi apabila pengarahnya Bill Condon memberitahu majalah Attitude di United Kingdom bahawa karektor Le Fou dilakonkan oleh Josh Gad adalah seorang gay.

“Le Fou adalah seseorang yang pada satu hari mahu menjadi Gaston dan pada hari lain mahu mencium Gaston.

“Dia keliru tentang apa yang dia mahu. Ada seseorang yang baru sedar bahawa dia mempunyai perasaan ini,” kata Condon.

‘Adegan gay’ itu bagaimanapun telah menjadi kontroversi.

Rusia telah mengenakan sekatan ke atas filem ini dengan kanak-kanak di bawah umur 16 dilarang daripada menontonnya.

Pawagam pandu lalu di Alabama, Amerika Syarikat juga mengharamkan filem ditayangkan kerana watak gay.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *