KUALA NERUS, Rakyat digesa supaya tidak terpengaruh dengan janji-janji palsu dan tidak logik menerusi Bajet Alternatif 2018 yang diumumkan Pakatan Harapan, semalam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata berbeza dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kerajaan hanya mengumumkan janji dan perkara yang realistik dan mampu dilaksanakan.

“UMNO dan BN sebuah kerajaan bertanggungjawab dan sangat berpengalaman luas dalam merangka bajet yang baik untuk semua pihak. Kita tahu apa boleh buat dan apa tidak boleh buat. Rakyat boleh nilai sendiri (bajet Pakatan Harapan dan BN).

“Kerajaan UMNO dan BN sentiasa melihat ke hadapan walaupun kadang-kadang keputusan kita buat itu tidak beri keuntungan kepada kerajaan (tidak popular kepada rakyat), tapi kita terpaksa buat disebabkan krisis ekonomi di seluruh dunia pada masa kini,”katanya kepada pemberita di sini pada khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bajet diumumkan Pakatan Harapan, yang antara lain, janji pembangkang untuk memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tol lebuh raya serta memberi pendidikan percuma di universiti awam.

Ahmad Razif turut menyifatkan bajet itu sebagai ‘angan-angan Mat Jenin’ Pakatan Harapan yang tidak bersandarkan kepada realiti dan ekonomi pada masa ini.

“Sebab itu persediaan dan langkah-langkah dibuat kerajaan sekarang adalah tepat. Pembangkang boleh janji apa sahaja tapi adakah mereka akan laksanakan? Berbeza dengan UMNO dan BN, kita laksanakan apa kita janji,”katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *